PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20090312

Kelas Tingkatan Enam wajar penjenamaan semula

TINGKATAN Enam semakin tidak popular. Pelbagai program untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antaranya matrikulasi, kursus asasi dan diploma, prauniversiti serta program persediaan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta menjadikan calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkurangan.

Kemerosotan ini memerlukan perhatian Kementerian Pelajaran kerana dikhuatiri program Tingkatan Enam yang diwujudkan sejak sekian lama untuk calon STPM yang dahulunya dikenali High School Certificate (HSC) sepi ditelan zaman. Laporan Majlis Peperiksaan Malaysia mendapati jumlah calon menduduki peperiksaan itu menurun daripada 73,690 pada 2006, kepada 66,048 (2007) dan 53,638 tahun lalu.

Berdasarkan situasi itu perlu ada proses penjenamaan semula supaya ia lebih menarik dan mempunyai nilai komersial bagi memastikan lepasan sekolah yang menyertainya kekal berdaya saing sama ada untuk memasuki pasaran pekerjaan mahupun meneruskan pengajian di IPT.

Cadangan kerajaan mewujudkan kolej Tingkatan Enam seperti diumumkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, adalah langkah terbaik dalam memaksimumkan keupayaan pelajar senior dalam sistem pendidikan negara. Jika di negara jiran, pelajar kategori ini akan mengikuti pengajian di kolej junior sebelum melanjutkan pengajian ke universiti tempatan mahupun luar negara.

Kajian semula perlu memberi penekanan kepada proses pembelajaran ala kampus sebagai persiapan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran IPT selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM. Pelajar yang rata-ratanya berusia di antara 18 hingga 19 tahun ini mempunyai keistimewaan kerana masing-masing sudah melalui proses pembelajaran secara berperingkat selama 11 tahun bermula Tahun Satu.

Banyak pengetahuan serta pengalaman diperoleh sepanjang tempoh berkenaan hingga menjadikan mereka lebih bersedia berhadapan situasi mengarahkan mereka berdikari mendapatkan bahan bacaan serta rujukan tambahan. Cadangan menyediakan asrama pula relevan kerana pergerakan mereka mudah dipantau kerana golongan ini mudah terjebak dengan unsur negatif, selain dapat mengoptimumkan alam persekolahan mereka dengan mengikuti aktiviti lebih bermakna.

Begitu juga cadangan menyediakan sekolah khas untuk pelajar Tingkatan Enam, ada baiknya hanya satu sekolah dalam sesuatu daerah melaksanakan program itu. Guru dan pelajar diasingkan supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Jika mereka berada dalam satu premis dikhuatiri wujud senario tidak kondusif dalam proses pengajaran membabitkan guru biasa dengan guru Tingkatan Enam yang sebahagian mereka memiliki gred lebih tinggi dengan tahap minimum pada DG44 hingga DG54 dan Jusa C bagi pengetua kanan. Walaupun sesetengah pihak menganggap isu ini remeh namun bakal menimbulkan pelbagai konflik yang menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di antara guru lama yang masih berada pada gred lebih rendah berbanding rakan baru yang sudah dinaikkan ke gred lebih tinggi.

Lazimnya setiap kali kerajaan melaksanakan proses menaiktaraf pastinya akan ada lantikan baru serta kenaikan gred, keadaan itu menimbulkan reaksi positif dan negatif pelbagai pihak. Penjenamaan semula memerlukan penelitian kerana ia membabitkan banyak pihak dari segi penyelarasan kelas hinggalah lantikan guru oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Penyelarasan serta kajian semula memerlukan nasihat pakar dalam mahupun luar negara termasuk mendapatkan pandangan daripada tokoh pendidik, selain mengadakan perbincangan dengan anggota masyarakat, industri dan IPT. Program pelajaran selama satu tahun setengah itu perlu dipenuhi pelbagai pendidikan serta dilengkapkan dengan aktiviti nilai ditambah bukan hanya memberi tumpuan akademik semata-mata. Pada peringkat ini, pelajar Tingkatan Enam boleh dijurus kemahiran serta pengetahuan kepada aktiviti sampingan menerusi kokurikulum yang dapat memupuk kemahiran kepimpinan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pelajar ini boleh ditugaskan untuk melaksanakan sesuatu projek untuk dimanfaatkan semua pihak antaranya untuk memajukan masyarakat sekitar. Sebagai contoh, beliau berkata, jika sekolah menyarankan pelajar menjalani projek kemasyarakatan serta pembangunan sesuatu kawasan, mereka boleh ditugaskan menyediakan kertas kerja untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan. Tahap pemikiran mereka sudah matang dan mempunyai keupayaan membuat keputusan, selain mempunyai kelebihan berkomunikasi.

"Inilah ciri istimewa yang diharapkan kerajaan kepada generasi muda hari ini, mereka bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi keadaan seimbang termasuk memiliki kemahiran insaniah. "Kami yakin jika pelajar diberi kepercayaan pada peringkat sekolah, masing-masing mudah menyesuaikan diri apabila berada di pusat pengajian tinggi serta mampu menjadi insan lebih peka kepada persekitaran," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam. Mengulas hanya guru yang mempunyai gred tertentu mengajar pelajar Tingkatan Enam, Alimuddin berkata, JPA sudah mengeluarkan surat lantikan kepada guru berkenaan.

Pelajar Tingkatan Enam hanya akan diajar guru gred minimum DG44. Guru berkenaan pula hanya mengajar pelajar Tingkatan Enam. Ia bagi memastikan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan. Sebelumnya, ada guru yang mengajar Tingkatan Enam perlu mengajar pelajar lain menyebabkan masing-masing berhadapan bebanan tugas yang banyak.

Penyelarasan ini memberi peluang guru meningkatkan kemahiran serta mutu pengajaran pelbagai kaedah termasuk menyediakan perbincangan serta perbahasan dalam sesuatu topik yang dikemukakan menerusi proses pembelajaran interaktif.


STPM perlu relevan dengan keperluan pendidikan negara

TAHNIAH kepada 236 pelajar berjaya mencatat keputusan terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kelmarin. Namun, jika dilihat secara menyeluruh keputusan itu kurang memberangsangkan, terutama kemerosotan dari segi jumlah calon yang memperoleh prinsipal A, selain prestasi kurang memuaskan di kalangan calon sekolah luar bandar. Daripada 53,638 calon yang mengambil peperiksaan itu, hanya 3,437 calon atau 6.85 peratus lulus penuh lima mata pelajaran, manakala 18,686 calon atau 37.25 peratus lulus empat mata pelajaran. Selebihnya hanya lulus tiga atau dua prinsipal, sekali gus menyukarkan mereka memasuki pusat pengajian tinggi awam. Dalam pada itu, kita melihat arah aliran pelajar memasuki Tingkatan Enam dan mengambil STPM juga semakin merosot iaitu daripada 66,048 calon pada 2007 kepada 58,048 tahun lalu. Jika kedua-dua petunjuk ini dijadikan asas untuk melihat masa depan peperiksaan STPM, ia sesuatu yang membimbangkan dan memerlukan penelitian khusus kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran. Peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil STPM melalui Tingkatan Enam semakin merosot setiap tahun, khususnya bagi kelas Sains iaitu hanya 9,093 calon tahun lalu berbanding aliran Sastera 44,545 calon. Malah, jika kita melihat daripada 400,000 pelajar yang menduduki SPM setiap tahun, hanya lapan peratus atau sekitar 50,000 saja memasuki kelas Tingkatan Enam dan mengambil peperiksaan STPM, ia sepatutnya membuka mata semua pihak mengenai hala tuju peperiksaan berkenaan.

Sebahagian pelajar lepasan SPM mengelak memasuki Tingkatan Enam atau mengambil STPM, sebaliknya memilih menyertai program diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), kolej matrikulasi atau kolej komuniti di seluruh negara. Sebagai contoh, daripada 442,936 calon SPM tahun lalu yang keputusannya diumumkan hari ini, seramai 130,000 calon memohon ke IPTA melalui online Unit Pusat Universiti. Itu belum dikira pelajar yang memohon mengikuti kursus diploma dan sijil yang dianggarkan berjumlah 28,000, manakala 27,500 lagi akan ditawarkan tempat di kolej matrikulasi. Kini terpulang kepada Kementerian Pelajaran untuk memastikan kelas Tingkatan Enam dan peperiksaan STPM terus relevan sebagai laluan ke IPTA. Ini berikutan terlalu banyak saluran untuk lepasan SPM memasuki IPTA dan IPTS bagi menyambung pelajaran pada masa ini. Sehubungan itu, ura-ura penjenamaan semula peperiksaan STPM, termasuk cadangan penubuhan Kolej Tingkatan Enam dan pemilihan guru berjawatan DG44 untuk mengajar pelajar STPM memang kena pada masanya dan amat dialu-alukan. Dalam pada itu, kita juga mahu MPM mengkaji semula sukatan 23 mata pelajaran yang ditawarkan di Tingkatan Enam supaya selari dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran di IPTA. Subjek ditawarkan itu kebanyakannya sudah ketinggalan zaman dan tidak menarik minat pelajar mempelajarinya. Sudah sampai masanya peperiksaan STPM digilap semula supaya menjadi keutamaan pelajar sebagai saluran memasuki universiti, bukan pilihan terakhir seperti tanggapan pelajar pada masa ini.

1 comment:

FrustDG2941 said...

Salam, ada tak sapa-sapa yang fasa 2 dah dapat jawapan. Sbb kes saya sebenornya layak utk fasa 1.