PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20090312

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serbu pejabat Kementerian Pelancongan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu. Ini berikutan serbuan pegawai SPRM ke pejabat Kementerian Pelancongan di Tingkat 36, Menara Dato' Onn di sini semalam. Dalam pemeriksaan oleh dua pasukan itu, SPRM turut merampas sejumlah dokumen dan menyoal siasat beberapa pegawai.

Sumber SPRM berkata, dalam serbuan itu, SPRM Wilayah Persekutuan memberi tumpuan kepada kes rasuah politik, manakala pegawai Bahagian Risikan ibu pejabat suruhanjaya itu menyiasat dakwaan penyelewengan pengurusan syarikat milik Tourism Malaysia, Pempena Sdn Bhd (Pempena). "Dalam pemeriksaan hampir tiga jam itu, SPRM turut mengambil keterangan kira-kira 10 pegawai kementerian berkenaan, bagaimanapun menteri terbabit tidak berada di pejabatnya ketika itu. "SPRM dijangka memanggil menteri berkenaan bagi memberi keterangan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi semalam.

Kementerian Pelancongan, dalam kenyataannya mengesahkan SPRM mengambil keterangan beberapa pegawainya termasuk berhubung siasatan terhadap anak syarikatnya, Pempena yang didakwa terbabit menyalahgunakan dana. "Berhubung beberapa laporan yang mengaitkan seorang pegawai kanan menteri disiasat SPRM baru-baru ini, kementerian mengesahkan beberapa pegawainya diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan. "Dalam pada tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan, kementerian dan Tourism Malaysia akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan. Kami akan membantu SPRM dan yakin siasatan akan dibuat secara adil," katanya. Sumber SPRM berkata, pemeriksaan itu dijalankan bagi mengesan sebarang bukti berkaitan pengagihan kontrak dan projek kepada perwakilan Umno, baru-baru ini.

"Pemeriksaan juga dilakukan untuk memastikan sama ada kontrak dan projek itu diberikan kepada individu terbabit dengan syarat mereka 'menaja' untuk jentera parti menjelang pemilihan akhir bulan ini," katanya. Jumaat lalu, dua pegawai kanan seorang menteri ditahan SPRM termasuk Setiausaha Politiknya yang bergelar Datuk sebelum dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Ketika ditahan, SPRM menemui RM70,000 dalam kereta Setiausaha Politik itu, dipercayai untuk diagihkan kepada perwakilan Umno Wilayah Persekutuan pada pemilihan parti 24 hingga 28 Mac ini.

Sumber itu berkata, dalam serbuan semalam SPRM turut menyiasat dakwaan penyelewengan pengurusan Pempena berikutan aduan terbaru yang diterima mengaitkan syarikat berkenaan, baru-baru ini. Beliau berkata, walaupun pemeriksaan sebelum ini mendapati tidak wujud masalah dalam syarikat berkenaan, suruhanjaya itu membuka semula kes berkenaan bagi mengesahkan dakwaan terbaru itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan firma audit, PricewaterhouseCoopers akan membentangkan kepada Kementerian Pelancongan bagi menentukan tindakan yang bakal dikenakan terhadap Pempena berhubung dakwaan terbabit dalam projek pelaburan yang diragui.

No comments: