PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20110425

Pelestarian tradisi jamin keutuhan bangsa

PERPADUAN kaum di Malaysia mengalami pasang surut sejak 54 tahun menikmati kemerdekaan biarpun pelbagai dasar diperkenal dan dilaksanakan. Gempa perpecahan pertama kali meledak pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-3, sekali gus mencatat tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Sejak itu perpaduan bertaut seketika bagi meneruskan kelangsungan program pembangunan, sekali gus menjaring semula kesejahteraan dan keharmonian rakyat hingga disegani di kalangan negara serantau.

Namun ledakan kedua yang berlaku pada 2008 tiba-tiba mengubah peta geopolitik Malaysia mengakibatkan rakyat berpecah belah dan perpaduan semakin menipis. Pelbagai dasar dan tindakan dilakukan bagi mengeratkan perpaduan, namun perpecahan terus melebar berikutan tindakan agresif kumpulan tertentu menghasut rakyat agar menentang dasar pembangunan kerajaan.

Ramai penganalisis politik tempatan melahirkan kebimbangan mengenai kumpulan radikal ini yang mendakwa memperjuangkan hak rakyat, tetapi ternyata merekalah petualang negara dengan mengutuk semua usaha kerajaan yang bersusah-payah membina negara selama berpuluh-puluh tahun.

Ini diakui Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Dr Ramlah Adam ketika berceramah dalam Forum Jati Diri 1Malaysia, bertajuk ‘Perpaduan Negara Melalui Komunikasi dan Media’ di Shah Alam, baru-baru ini, sambil menambah kumpulan radikal ini menggunakan media baru seperti laman sesawang untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan.

Forum Jati Diri 1Malaysia adalah anjuran Jabatan Penerangan, Berita Harian, Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Siswazah Komunikasi (PERSKOM). Majlis ini dipengerusikan Prof Dr Mokhtar Muhammad dari UiTM Shah Alam dan disertai pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Datuk Prof Dr Rosli Saludin.
Ramlah turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terperangkap dengan hasutan kumpulan radikal ini kerana mereka sanggup berbuat apa saja bagi mencapai matlamat untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Pusat.

Pada masa sama, katanya, rakyat Malaysia perlu menghapuskan rasa curiga terhadap kepemimpinan kerajaan dan berusaha menjaga perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum bagi memudahkan kerajaan meneruskan usaha pembangunan bagi kepentingan bersama.

Bagi mencapai tujuan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan slogan 1Malaysia dengan mengajak semua kaum dan keturunan di Malaysia sentiasa bekerjasama dan hormati menghormati bagi memudahkan kelangsungan pelbagai program pembangunan negara.

“Ia bukan slogan politik untuk memenangi PRU Ke-13, tetapi kesinambungan daripada konsep muhibah yang pernah diperkenalkan Perdana Menteri pertama, disusuli reformasi bahasa dan budaya oleh beberapa peneraju berikutnya.

“Semua slogan berkenaan disandarkan pada matlamat membentuk kehidupan selesa dan menghindar perpecahan kaum yang boleh mengundang ketidakstabilan politik.

“Peluang mengerat perpaduan rakyat berbilang kaum boleh dicapai jika rakyat Malaysia berusaha membentuk sikap jati diri yang bertunjangkan semangat kebangsaan seperti dilakukan pejuang negara ketika menentang komunis dan imperialisme Barat,” katanya.

Ramlah berkata, tidak ramai menyedari kepentingan bahasa sebagai kunci perpaduan rakyat. Justeru, kebanyakan kuasa ekonomi terbesar dunia seperti China dan Jepun mendukung semangat kebangsaan yang jitu dan pemimpin mereka berbangga menggunakan bahasa masing-masing sebagai lingua franca di persada antarabangsa.

Selain itu, katanya, rakyat perlu terus menyokong dasar dan pembangunan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik berada pada tahap terbaik, sekali gus menutup peluang kuasa Barat, terutama Amerika untuk melebarkan semula imperialismenya di Malaysia dengan helah mahu memulihkan kestabilan politik di rantau ini.

Beliau berkata, kemelut politik di beberapa negara Asia Barat seperti Afghanistan, Iraq, Libya dan Yaman sejak kebelakangan ini membuka ruang kepada penjajah untuk bersekongkol dengan masyarakat setempat bagi menjatuhkan kerajaan masing-masing.

Ramlah berkata, peralihan kuasa tidak memberi faedah kepada rakyat di negara berkenaan kerana rakyat terus sengsara menanggung kesan peperangan.

Katanya, Malaysia bebas daripada cengkaman imperialisme pada kurun ke-20, namun beberapa tanda menunjukkan penjajahan semula akan berlaku di abad ini berikutan tindakan kumpulan penentang kerajaan didapati bersekongkol dengan kuasa Barat dan ini boleh mengundang nasib sama dengan rantau Asia Barat.

Rosli pula berpendapat Malaysia mampu melakar nama sebagai sebuah negara maju dengan keunikannya tersendiri kerana negara ini dibina dan dibangunkan berteraskan budi bahasa, sopan-santun serta susila adat yang tinggi.

Justeru, katanya, ia perlu terus dipertahankan oleh generasi muda sebagai warisan bangsa.

“Bersatu itu teguh, bercerai itu roboh. Bersatu bertambah mutu, berbahasa menunjukkan bangsa. Kalau hilang bahasa tak taulah apa nak kata. Kalau mencari tempat mandi, pertama teluk kedua pantai. Kalau mencari pemimpin terpuji, pertama elok kedua pandai,” katanya yang lebih banyak berpantun ketika menyampaikan ceramah.

Beliau berkata, dalam mengisi nilai kemerdekaan negara, Adat Perpatih, misalnya mementingkan perpaduan supaya masyarakat hidup dalam harmoni dan sejahtera.

“Dalam adat Perpatih ada mengatakan duduk seorang bersempit sempitan, duduk ramai berlapang-lapangan. Apa yang ditekankan ialah elemen muafakat. Jika seorang berfikir seorang, kalau ramai maka banyak idea yang boleh diketengahkan.

“Batu kikir jambatan besi gulai udang sebelanga, fikir-fikirlah dalam hati, daripada seorang elok kita bersama. Jadi, kebersamaan kita dalam negara berbilang kaum ini tanpa mengira agama, bangsa kita bersatu,” katanya.

Rosli menegaskan tunjang utama yang menjamin keutuhan sesebuah bangsa ialah pelestarian tinggalan tradisi dan ia perlu dipertahankan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh bangsa yang dianggap bertamadun memartabatkan tinggalan adatnya untuk keampuhan peribadi bangsanya.

Zailani Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/04/25