Kami bawa anda mendekati, mendalami dan menghayati isu-isu dan fakta terkini.
PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG
INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR
20080530
AirAsia untung RM110 juta
Menurut AirAsia, bagi tempoh yang sama, perolehan syarikat penerbangan tambang murah itu turut meningkat kepada RM535 juta berbanding RM406 juta.
Pertumbuhan positif itu didorong oleh jumlah penumpang yang tinggi, iaitu naik sebanyak 21 peratus pada tempoh itu selain sumbangan daripada pendapatan tambahan.
Tambang purata melonjak sebanyak 10 peratus kepada RM189 berbanding RM171 yang dicatatkan pada suku pertama 2007.
Jumlah pertambahan penumpang dan faktor muatan penumpang juga turut menyumbang kepada peningkatan lagi hasil syarikat.
Akta umur persaraan 58 tahun dilulus, berkuatkuasa 1 Julai 2008
Dewan Rakyat semalam meluluskan pindaan kepada Akta Pencen 1980 yang diberi nama Akta Pencen (Pindaan) 2008 bagi membolehkan umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun, berkuat kuasa 1 Julai ini.
Akta itu membabitkan pegawai dan kakitangan yang bekerja sepenuh masa, namun mereka diberi pilihan untuk bersara pada umur persaraan wajib, 55 atau 56 tahun seperti pilihan mereka sebelum 1 Julai ini.
Kerajaan juga akan menimbangkan untuk melanjutkan umur persaraan sehingga 60 tahun secara berperingkat.
20080529
Dua harga jual petrol, diesel
Melalui sistem harga berperingkat itu, semua pemilik kenderaan yang didaftarkan di luar negara perlu membeli petrol atau diesel mengikut harga pasaran dunia jika memasuki negara ini.
Pelaksanaan langkah itu dapat membantu memastikan hanya rakyat tempatan menikmati subsidi minyak yang diberikan kerajaan, manakala kenderaan asing dikehendaki membayar harga penuh (mengikut pasaran semasa).
Malaysia yakin capai sasaran KDNK 5 hingga 6 peratus
Katanya, negara sudah mencapai satu pertumbuhan menggalakkan bagi suku tahun pertama 2008 yang melepasi angka sasaran awal antara lima hingga enam dari KDNK.
“Untuk suku pertama kita mencapai lebih dari anggaran itu, semua sektor menunjukkan prestasi yang baik, termasuk sektor pertanian, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan yang menunjukkan pertumbuhan yang positif.”
“Pada masa ini, kita akan menguruskan langkah untuk menjana ekonomi tetapi tidak memerlukan satu pelan yang khusus sebab kita bukan dalam keadaan lembab...kita berada dalam trend pertumbuhan, saya sangat positif kita akan mencapai sasaran lima hingga enam peratus berasaskan dengan dasar yang kita ambil dan laksanakan menerusi pengurusan berhati-hati dan berhemat ekonomi kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri penyampaian anugerah kecemerlangan kementerian itu di sini hari ini.
Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa ekonomi berkembang pada kadar tahunan lebih cepat dari yang dijangka 7.1 peratus dalam suku tahun pertama, yang dirangsang oleh permintaan domestik dan eksport.
“Kita memang dapat memperolehi satu kadar pertumbuhan yang memberangsangkan (dan) kita memang gembira 7.1 peratus (pada suku tahun pertama) walaupun pada awal tahun kita memaklumkan bahawa kadar pertumbuhan 2008 dianggarkan di antara lima hingga enam peratus," katanya.
- Bernama
20080528
Siaran langsung sidang Dewan Negara mulai Isnin ini
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata siaran langsung setengah jam itu akan menggantikan slot sesi soal jawab Dewan Rakyat yang disiarkan pada masa kini.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan Senator Datuk Wira Syed Ali Abbas Al-Habshee semasa perbahasan usul menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, yang menuntut persidangan Dewan Negara turut diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen.
Dewan Negara bersidang dari 26 Mei hingga 4 Jun.
Terdahulu, Syed Ali, yang mencelah meminta pandangan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir semasa perbahasan itu, melahirkan rasa terkilan kerana persidangan Dewan Negara yang juga komponen kedua tertinggi dalam struktur Parlimen tidak diberikan peluang sama seperti mana yang diberikan Dewan Rakyat.
- Bernama
Jangan spekulasi minyak naik 1 Jun
Sebaliknya beliau berkata, kerajaan menerima banyak cadangan untuk menangani inflasi dan kesemua cadangan tersebut perlu dikaji oleh Kabinet terlebih dulu.
Ekonomi : Malaysia catat KDNK 7.1% suku pertama
28/05/2008 6:17pm UM.
Langkah atasi krisis minyak Jumaat 30 Mei 2008 ini
Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang dipengerusikannya kelmarin membentangkan beberapa cadangan berhubung perkara itu dan ia akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
30,757 lepasan SPM ke IPTA tahun 2008 ini.
Kerajaan menawarkan 30,757 tempat untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf dengannya untuk mengikuti program diploma serta persediaan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2008/2009.
Jumlah itu meningkat 17.2 peratus atau 5,281 tempat berbanding 25,476 yang ditawarkan mengikuti program berkenaan di
Program yang ditawarkan IPTA bagi lepasan SPM dan setaraf untuk sesi akademik 2008/2009 itu membabitkan 169 program dengan 36 daripadanya Persediaan (Asasi/Tamhidi), manakala 133 lagi diploma.
Kerajaan mensasarkan 50 peratus rakyat lingkungan 17 hingga 23 tahun berkelulusan pendidikan tinggi menjelang 2020, berbanding 36 peratus ketika ini.
20080527
PERTAHANKAN WILAYAH
Justeru apabila wujudnya tuntutan ber- tindih ke atas sesebuah pulau yang menjadi tanda aras kepada persempadanan maritim antarabangsa, fakta sejarah akan menjadi rujukan utama dalam menentukan kedaulatannya ke atas sesebuah negara.
Menguatkan tuntutan sesebuah negara seperti yang berlaku dalam kes Batu Putih, apabila ia diuruskan oleh Singapura termasuk membina rumah api dan menjalankan aktiviti yang menunjukkan kehadiran negara berkenaan di pulau ter- sebut.
Dalam pertimbangan seperti itu, jarak pulau yang dituntut tidak lagi menjadi faktor utama biarpun dalam ukuran pemetaan, pulau berkenaan lebih dekat dengan negara yang dinafikan kedaulatannya berbanding negara yang diberikan hak.
Merentasi zaman, setiap negara ketika ini bagaimanapun perlu menetapkan sempadan maritim secara terperinci mengikut lunas-lunas yang termaktub di bawah undang-undang laut antarabangsa (UNCLOS III) atau juga disebut Konvensyen Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.
Dalam mematuhi lunas-lunas berhubung persempadanan maritim negara itu, Malaysia ketika ini telah pun menggariskan lokasi titik-titik pangkal negara di bawah Akta Garis Pangkal Zon Maritim 2006 yang akan diwartakan tidak lama lagi.
Ia mengguna pendekatan prinsip garis pangkal lurus (straight base line) seperti yang termaktub di bawah KUUL sekali gus membolehkannya diterima pakai di peringkat antarabangsa.
Garis Pangkal dan Titik Pangkal itu kemudiannya perlu dideposit kepada Per- tubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selewat-lewatnya pada tahun hadapan bagi membolehkan negara melebarkan wilayah perairan berlandaskan lokasi titik pangkal yang dikenal pasti oleh Pusat Hidrografi Negara (PHN) dan Jabatan Pemetaan (JUPEM).
Bagaimanapun bagi bahagian perairan selatan semenanjung berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyerahkan Batu Putih kepada Singapura, kedudukan garis pangkal yang terbentuk di bawah zon maritim negara di kawasan itu adalah bersifat separuh (partial submittion) dan pembahagian sempadan akan ditentukan oleh jawatankuasa teknikal kedua-dua negara.
Dengan kewujudan akta itu nanti, ia membolehkan negara luar melihat dengan jelas di mana kedudukan wilayah perairan negara seterusnya mengelak pertikaian mengenai persempadanan maritim antarabangsa atau pertindihan tuntutan pulau-pulau tertentu pada masa depan.
Pertindihan sedia ada di Laut China Selatan dan Laut Sulawesi bagaimanapun dijangka berterusan meskipun dengan adanya akta ini, memandangkan isu berkenaan telah timbul lebih awal berdasarkan wilayah maritim negara berdasarkan peta lama.
Sejauh mana perubahan terhadap pe- ta lama dengan wujudnya Akta Garis Pangkal Zon Maritim 2006 itu nanti juga menjadi isu yang bakal mengundang rundingan lanjut khususnya dengan negara jiran.
Melihat kepada situasi negara ketika ini, Dekan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Nasrudin Mohammed berkata, Malaysia sebenarnya agak ketinggalan dalam isu persempadanan maritim.
Malah, tuntutan-tuntutan bertindih ke atas kedaulatan pulau yang sebelum ini dirasakan milik Malaysia juga adalah satu prosedur yang baru dan asing buat negara.
Justeru ujar beliau, apabila perkara itu dibangkitkan seperti yang berlaku dalam kes tuntutan Batu Putih, negara ter- paksa mendepaninya dengan situasi yang agak kelam kabut kerana kurangnya pe- ngetahuan dan pemahaman mengenai perkara tersebut.
MembanterasKes tuntutan pulau atau lebih tepat kedaulatan persempadanan maritim bermula apabila berlakunya serangan lanun secara berterusan ke atas nelayan dan kapal perdagangan yang melalui perairan Selat Melaka.
Ancaman maritim itu menimbulkan pertikaian di kalangan negara di rantau ini berhubung negara manakah yang se- harusnya memastikan keselamatan perairan tersebut seterusnya membanteras aktiviti lanun.
Ia kemudiannya membawa kepada tindakan negara-negara tertentu membina rumah api di pulau itu dan tanpa sebarang bantahan dari mana-mana negara, aktiviti di pulau tersebut dipertingkatkan.
"Justeru apabila wujud tuntutan bertindih berhubung kedaulatan pulau itu seperti yang berlaku dalam kes Batu Putih, perundangan pastinya memihak kepada negara yang menunjukkan kehadiran dan mengesahkan kedudukan mereka di pulau berkenaan sejak sekian lama," katanya.
Menurut Nasrudin, disebabkan pertindihan tuntutan pulau melibatkan persempadanan dan kedaulatan negara, ia memberikan impak yang cukup besar dan melibatkan soal masa depan, lebih- lebih lagi dalam percaturan politik antarabangsa.
Untuk itu jelasnya, kerajaan perlu merangka satu tindakan menyeluruh dengan segera berhubung persempadanan maritim bagi memastikan kes kehilangan kedaulatan Batu Putih tidak berulang dalam kes tuntutan bertindih lain yang sedang dihadapi ketika ini.
Dalam menetapkan persempadanan maritim negara pula seperti yang dijelaskan oleh Lt. Jeneral (B), Datuk Seri Zaini Mohd. Said, selain perlu berlandaskan kepada persetujuan undang-undang maritim antarabangsa, ia juga seharusnya mengambil kira undang-undang negara selain mendapat persetujuan bersama daripada negara jiran.
Namun dalam situasi ketika ini tambah bekas Panglima Medan Tentera Darat itu, tidak ada penetapan sempadan maritim yang dipersetujui oleh dua buah negara bersempadan menyebabkan ia ditentukan secara unilateral atau hanya sebelah pihak sahaja.
"Justeru, pihak maritim dan jabatan laut perlu menandakan sempadan perairan negara sebagai panduan kepada nelayan supaya tidak memasuki kawasan yang di tetapkan bagi mengelak se- barang kejadian yang tidak diingini," je- lasnya.
Merujuk kepada situasi di Pulau Pisang, Zaini berkata, kerajaan perlu berunding dengan Singapura untuk mengambil alih pengurusan rumah api yang dibangunkan oleh negara berkenaan sejak sekian lama.
Meskipun kedudukan Pulau Pisang itu terletak di wilayah maritim negara, namun apa yang dibimbangkan ia bakal mencetuskan satu lagi tuntutan bertindih dengan Singapura pada masa depan.
Mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam kehilangan kedaulatan ke atas Batu Putih, kerajaan ujar beliau, perlu bertindak segera membangunkan pulau itu sekali gus mempertahankan kedaulatan wilayah yang merupakan hak negara.
BNM kekalkan OPR 3.50 peratus
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM menyatakan ekonomi terus menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh suku pertama 2008, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Ia berkata, walaupun eksport barangan elektrik dan elektronik telah berkurangan, eksport bersih terus mapan, disokong oleh eksport komoditi dan barangan perkilangan berasaskan sumber yang lebih kukuh.
"Bagaimanapun, sekarang ini terdapat bukti tanda-tanda yang lebih jelas pertumbuhan ekonomi utama dunia menjadi perlahan. Pertumbuhan ekonomi yang sederhana ini dijangka akan memberi kesan terhadap ekonomi serantau termasuk Malaysia pada separuh kedua tahun ini," katanya.
BNM menyatakan meskipun terdapat petunjuk pertumbuhan global yang perlahan, harga komoditi dan makanan meningkat secara berterusan.
Ia berkata, harga minyak telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan inflasi harga pengguna dalam negeri meningkat kepada tiga peratus pada April 2008 dan didorong terutamanya oleh harga makanan yang lebih tinggi.
"Terdapat risiko peningkatan yang kukuh bagi inflasi global disebabkan harga makanan dan tenaga yang terus tinggi.
"Sementara tekanan sebegitu dijangka akan menurun sekiranya pertumbuhan global menjadi sederhana, tekanan harga dalam negeri dijangka berterusan dalam tempoh terdekat," katanya.
- Bernama
Kerajaan beri penekanan terhadap media baru
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia perlu memandangkan tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan melalui platform media baru telah membawa kesan diluar jangkaan seperti yang dapat dilihat melalui keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
"Kita sememangnya telah terlepas pandang kaedah terbaik untuk menguruskan media baru (sebelum ini), saya juga mengakui kita tidak terlalu arif akan kaedah untuk berhadapan dan meneutralkan tohmahan yang dilemparkan melalui teknologi baru," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia di sini hari ini.
- Utusan
20080526
Kerajaan kaji keledek ganti beras
KRISIS MAKANAN: Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Shukur Abdul Rahman (kanan) memberi penerangan kepada Mustapha mengenai keledek Vitato di Gong Macang, Besut.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi) sedang mengkaji cadangan menjadikan keledek bervitamin (Vitato) sebagai makanan alternatif menggantikan beras bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan berasaskan beras sekali gus menangani krisis kekurangan bekalan itu.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Mardi kini dalam penyelidikan melihat penerimaannya di kalangan pengguna termasuk mengkaji sama ada ia mempunyai zat dan khasiat yang sama dengan beras.
"Jika tidak ada bezanya khasiat Vitato dengan beras dan boleh dijadikan makanan alternatif menggantikan beras, maka ia boleh digunakan kerana ketika ini harga beras yang paling murah adalah RM1.80 sekilogram (sekg) sedangkan harga sekg Vitato cuma antara 80 sen hingga RM1.00.
"Jika lebih murah, ia boleh dijadikan alternatif.. kita bukan nak ganti sepenuhnya cuma selang selikan pengambilan pada waktu pagi atau malam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Tanaman Keledek Vitato di Kampung Gong Machang, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh. Mustapa berkata, selain itu Mardi juga sedang mengkaji potensi memproses Vitato untuk dijadikan tepung bagi menggantikan penggunaan tepung gandum untuk kegunaan harian rakyat Malaysia.
Katanya, jika Vitato boleh diproses dan berupaya menggantikan penggunaan tepung gandum, ia boleh mengurangkan kebergantungan terhadap gandum yang kos mengimportnya setiap tahun untuk dijadikan tepung mencecah ratusan juta ringgit.
Terdahulu, Mustapa menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kontrak pemasaran di antara empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi memasarkan Vitato.
Katanya, kontrak pemasaran itu dapat menjamin pasaran dan hasil jualan Vitato yang dikeluarkan oleh empat PPK terbabit. Ia membabitkan PPK Pelagat dan Setiu di Terengganu dan PPK Bachok Utara serta Kandis di Kelantan.
Subsidi minyak ikut cc kenderaan
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan supaya pemberian subsidi petrol dilakukan mengikut kuasa enjin kereta (cc) yang digunakan pengguna.
Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata langkah itu bagi memberi keadilan kepada mereka yang tidak berkemampuan yang kebanyakannya menggunakan kereta berkuasa rendah.
"Apa yang berlaku ketika ini, mereka yang mampu membeli kereta besar membayar harga petrol sama dengan pemilik kereta kecil," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, langkah itu adalah antara cadangan dikemukakan Fomca pada dialog bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai skim subsidi minyak untuk dinikmati penduduk negara ini. Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu menetapkan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun kepada pengguna jika mahu menghapuskan subsidi minyak dinikmati selama ini supaya segala tindakan untuk mengurangkan beban dapat diambil dalam tempoh itu.
Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan kerajaan mencari bahan api serta tenaga alternatif menggantikan minyak.
"Di negara maju, penggunaan bahan api untuk kenderaan persendirian berjaya dikurangkan melalui perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan sebagai langkah awal. Ia dipertingkatkan dengan menyepadukan semua kaedah pengangkutan menjadi satu entiti yang berkesan," katanya.
Beliau berkata, tempoh masa tertentu diperlukan rakyat supaya tiada kenaikan mendadak terhadap kos kehidupan sekiranya subsidi minyak dihapuskan.
Sambil menegaskan pengumuman beberapa langkah kerajaan sejak kebelakangan ini dilihat mampu mengatasi masalah itu, Mohd Yusof yakin demonstrasi seperti berlaku di Indonesia berikutan kenaikan harga bahan apinya sehingga 30 peratus, tidak akan berlaku di negara ini.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mengkaji dan memperhalusi semula skim subsidi minyak ketika ini berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia, mengikut kaedah yang tidak membebankan rakyat terutama berpendapatan rendah.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, dilaporkan berkata pengguna negara ini dijangka menikmati harga petrol biasa lebih rendah tidak lama lagi, berikutan cadangan kerajaan untuk menstruktur semula jenis petrol di pasaran dan pemberian lebih banyak subsidi bagi petrol biasa. Shahrir berkata, perubahan harga petrol itu akan dibuat melalui kajian semula subsidi petrol di pasaran seperti petrol berplumbum dan tanpa plumbum, iaitu RON 92 dan RON 97.
20080525
'Keputusan ICJ cetus pertindihan hak'
"Agak menarik keputusan ICJ kerana kedua-dua pulau ini berdekatan tetapi kedaulatan berlainan," katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai rekaan landskap Massif Design di Taman Universiti, Skudai, di sini, semalam.
ICJ melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura terhadap hak kedaulatan Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan Pulau Batuan Tengah. Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke Timur Singapura.
Jarak antara Batuan Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 km, manakala Terumbu Karang Selatan dengan Pulau Batu Puteh kira-kira 4 km. Berikutan itu, kata Ghani, Johor menyerahkan kepada Kerajaan Pusat untuk membuat keputusan seterusnya terhadap pulau Batuan Tengah selepas sah ia menjadi hak Malaysia.
Katanya, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan apa juga bentuk pembangunan yang mungkin boleh dijalankan di pulau berhampiran Teluk Ramunia, Pengerang itu.
Ghani berkata, Johor berpendapat Malaysia dan Singapura perlu menunggu rumusan terperinci daripada Jawatankuasa Teknikal sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua pulau yang sah menjadi hak masing-masing itu bagi mengelak pertindihan hak kewilayahan.
"Saya percaya jawatankuasa itu akan membuat pertimbangan terbaik dan mengambil kira semua aspek, terutama berkaitan hak dan kawasan perairan serta kesannya terhadap subjek lain termasuk kegiatan nelayan di Pengerang.
"Johor menerima keputusan ICJ dengan hati terbuka dan yang jelas ialah kedaulatan Johor khususnya daripada segi sejarah adalah tepat dan benar terhadap semua pulau yang ada di situ dan Singapura sendiri. Daripada aspek sejarah, kedaulatan Johor diterima ICJ," katanya.
Selain Batu Puteh, beliau berkata setakat ini tidak ada lagi pulau di negeri ini yang mempunyai masalah berbangkit, terutama berkaitan tuntutan hak milik dan kedaulatan membabitkan Johor dengan negara lain. Katanya, Pulau Pisang di Pontian tidak menghadapi masalah tuntutan hak dari negara lain kerana jelas pulau itu adalah hak milik Johor berdasarkan kepada pendaftaran tanah yang dilakukan di negeri ini.
"Kita tidak menghadapi masalah pertikaian hak dan kedaulatan berhubung Pulau Pisang kerana ia adalah sah milik Johor dan tidak boleh dituntut negara lain," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia berkata, proses menentukan garis sempadan baru antara kedua-dua negara mungkin mengambil sedikit masa.
"Sebelum ini Pulau Batu Puteh adalah garis sempadan yang memisahkan negara kita dengan negara jiran itu dan kini ia sudah pasti berubah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Bagaimanapun, jurucakap itu mengakui tindakan segera perlu diambil bagi menentukan sempadan baru maritim negara.
"Saya percaya, ketika ini sudah pasti ramai nelayan yang tidak akan pergi ke kawasan sana (Pulau Batu Puteh dan Batuan Tengah) kerana bimbang kemungkinan tersilap masuk ke perairan negara jiran itu," katanya.
Batu Puteh hak Singapura
Penghakiman setebal 81 halaman putuskan Batuan Tengah milik MalaysiaTHE HAQUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam memutuskan Singapura mempunyai hak ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia. Bagaimanapun, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Penghakiman setebal 81 halaman itu yang dibacakan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, selama kira-kira sejam 45 minit mulai 10 pagi itu, (4 petang waktu Malaysia), menamatkan pertikaian lebih 28 tahun oleh kedua-dua negara ke atas muka bumi itu.
Dalam keputusan berhubung Pulau Batu Puteh yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Blanca, 12 hakim memihak kepada Singapura manakala empat Malaysia, Batuan Tengah (15-1). Bagi Tubir Selatan ICJ mengundi 15-1, ia hak negara yang memiliki perairannya.
Mereka mengiktiraf tuntutan Kesultanan Johor terhadap hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh serta dua lagi, tetapi mengambil kira bahawa lebih 100 tahun Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk menunjukkan haknya ke atas pulau itu.
Selain itu, surat Penolong Setiausaha kerajaan Johor pada 1953 kepada Singapura yang tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Puteh, dianggap mahkamah sebagai pengakuan penyerahan kedaulatan pulau berkenaan kepada republik itu.
Keputusan ICJ yang juga badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, adalah muktamad dan mengikat kedua-dua negara serta tidak boleh dirayu lagi.
Keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM1. Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengetuai rombongan Malaysia mendengar penghakiman itu, menyifatkan keputusan berkenaan sebagai menang-menang kerana Singapura tidak memperoleh semua yang dituntut, sebaliknya Malaysia diberi hak kedaulatan ke atas Batuan Tengah.
Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk kedua-dua negara bagi mengkaji hasil keputusan itu akan memulakan segera mesyuarat untuk mencari kaedah penyelesaian kedudukan Tubir Selatan, yang tidak diputuskan pemiliknya dalam penghakiman berkenaan.
ICJ mula membicarakan tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh pada 6 November 2007.
Dokumen ratifikasi perjanjian khas untuk memeterai persetujuan kedua-dua negara membawa dan menerima sebarang keputusan ICJ berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu ditandatangani Malaysia dan Singapura pada 6 Februari 2003 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Ini kali kedua ICJ membuat keputusan berhubung tuntutan wilayah bertindih membabitkan Malaysia. Pada Disember 2002, ICJ memutuskan Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di pantai Sabah, yang turut dituntut Indonesia.
Dalam menolak tuntutan Singapura ke atas Batuan Tengah, Awn Shawkat berkata, 15 hakim mendapati hak milik asal Batuan Tengah perlu dikekal kepada Malaysia sebagai pengganti Kesultanan Johor.
Beliau berkata, mahkamah tidak menerima tuntutan Singapura berhubung negara yang memiliki kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, sekali gus mempunyai hak yang sama ke atas Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Berhubung Pulau Batu Puteh, mahkamah menerima hujah Malaysia bahawa Kesultanan Johor mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan bermula sebelum 1800 hingga 1840 dan melalui surat pegawai kanan kerajaan Johor hak itu diserahkan kepada kerajaan British Singapura pada 1953.
"Mahkamah memutuskan Kesultanan Johor mempunyai hak milik asal ke atas Pulau Batu Puteh dan hak itu disokong serta disahkan melalui tindakan Sultan Johor mengambil tindakan ke atas Orang Laut yang tinggal di kepulauan di Selat Singapura termasuk Pulau Batu Puteh serta menjadi kawasan marin itu tempat penginapan mereka," katanya.
Katanya, hak kedaulatan pulau berkenaan terus berada di bawah Kesultanan Johor melalui perjanjian British-Belanda 1824, Triti Crawfurd 1824 dan apabila Sultan Johor bersetuju menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur (EIC).
Mengenai kedudukan perundangan ke atas pulau itu selepas 1840, Awn Shawkat berkata, mahkamah menimbang fakta yang berkaitan, terutama mengenai kegiatan atau tindakan yang dilakukan oleh pihak terbabit dalam tempoh itu.
"Kami meneliti kejadian yang berlaku dalam tempoh itu seperti proses pembinaan rumah api dan kegiatan yang berlaku pada 1852-1952, iaitu pengenalan peraturan mengenai rumah api serta sistem lampu selat, perkembangan perlembagaan Malaysia dan Singapura serta peraturan perikanan Johor pada 1860 tetapi semuanya tidak dapat membantu memuktamadkan kes di depan mahkamah ini.
"Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira surat Penolong Setiausaha Kerajaan Johor dan mentafsirkan sebagai satu yang amat penting untuk menentukan persefahaman perkembangan kedua-dua pihak berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh.
"Justeru mahkamah mendapati surat jawapan Johor itu menunjukkan sejak 1953 lagi negeri itu sedar ia tidak lagi mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan," katanya.
Awn Shawkat berkata, mahkamah akhirnya meneliti tindakan atau kegiatan yang dilakukan kedua-dua pihak selepas 1953 dan membuat kesimpulan tindakan tertentu seperti penyiasatan Singapura berhubung kapal karam dalam perairannya, permohonan kebenaran pegawai Malaysia membuat kerja ukur di perairan pulau itu, sebagai tindak-tanduk melaksanakan hak kedaulatan.
Selain itu, katanya, mahkamah menimbang tindakan pihak lain yang menyokong tuntutan Singapura seperti tindakan Malaysia mendiamkan diri apabila Singapura mengibarkan bendera di Pulau Batu Puteh, pemasangan alat komunikasi tentera pada 1977, cadangan kerja penambakan laut, penerbitan tertentu serta peta.
Berdasarkan fakta itu, katanya, mahkamah memutuskan bahawa Singapura sudah mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sejak 1980, iaitu tarikh pertikaian kes itu bermula.
INFO: Pulau Batu Puteh
Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak itu terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke timur Singapura.
Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara geologi bersambung dengan Pulau Batu Puteh.
Jarak di antara Batuan Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 kilometer manakala Tubir Selatan dengan Pulau Batu Puteh kira-kira empat kilometer.
Malaysia dan Singapura bersetuju membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2003 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
ICJ mula membicarakan tuntutan terhadap pulau itu pada 6 November 2007.
Delegasi Malaysia terdiri daripada ejen, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; ejen bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa dan wakil kerajaan Johor, Datuk Hamsan Saringat.
Delegasi Singapura pula terdiri daripada Timbalan Perdana Menterinya, S Jayakumar; Ketua Hakim Negara, Chan Sek Keong; Peguam Negara, Chao Hick Tin dan ejennya, Prof Tommy Koh.
20080521
Ikrar setia pada PM - Ahli-ahli Parlimen UMNO mahu Abdullah terus terajui parti, negara
Mereka memberi jaminan tidak akan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan keluar daripada UMNO semalam.
Ikrar ini dilafazkan dalam pertemuan ahli-ahli Parlimen UMNO dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu menyaksikan beberapa ahli Parlimen berucap dengan mereka sepakat menegaskan bahawa tindakan Dr. Mahathir itu bukanlah satu isu.
Kata beliau, berikutan itu mereka memberi jaminan akan terus berkhidmat bersama UMNO dan memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Abdullah untuk memimpin UMNO, Barisan Nasional (BN) dan negara.
‘‘Malah Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mewakili yang hadir bangun memaklumkan bahawa tidak ada dalam pengetahuan akan ada dalam kalangan mereka yang akan meninggalkan parti bersabit dengan gesaan Dr. Mahathir.
‘‘Sebaliknya mereka mengulangi ikrar kepada Perdana Menteri bahawa ‘kami tidak akan tinggalkan UMNO sebaliknya akan terus tinggal dalam UMNO’,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan di lobi bangunan Parlimen hari ini.
Menurut Mohamed Nazri, pertemuan tersebut dihadiri kira-kira 95 peratus daripada ahli Parlimen UMNO termasuk kebanyakan anggota Kabinet.
Namun Mohamed Nazri tidak pasti secara tepat sama ada pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Mukhriz (BN-Jerlun).
‘‘Kita tak catit kehadiran pula, mencari siapa yang hadir, siapa yang tak hadir.
“Mengenai Mukhriz, dia juga Ahli Parlimen UMNO jadi tak perlulah hendak meletakkan beliau seolah-olah kita semua marah kepada dia, kita tak diskriminasi sesiapa,” ujarnya.
Sementara itu, Nazri memaklumkan pertemuan tersebut turut mencapai kata sepakat untuk menghidupkan semula Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) yang pada penggal lalu tidak diaktifkan.
“Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) dipilih secara sebulat suara sebagai Pengerusi.
“Kewujudan kumpulan ini penting kerana ada perkara yang menyentuh tentang UMNO sahaja seperti mana dalam isu hari ini (berhubung gesaan Dr. Mahathir),” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, isu Dr. Mahathir sebenarnya bukan agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
Menurut beliau, kesemua ahli Parlimen yang mewakili UMNO faham bahawa keputusan Dr. Mahathir itu merupakan hak beliau dan mereka menghormatinya.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata, walaupun Dr. Mahathir banyak berjasa kepada parti tetapi sudah menjadi kebiasaan pemimpin utama UMNO meninggalkan parti selepas bersara.
‘‘Walaupun kita berasa sedih dengan tindakan Dr. Mahathir tetapi kita akan tetap bersama-sama menyokong kepimpinan Abdullah,” katanya.
Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata, ahli-ahli Parlimen UMNO perlu memainkan peranan untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan dan juga BN.
‘‘Sebagai wakil rakyat dari UMNO, kita akan tetap berada dalam parti dan setia bersama parti. Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri tadi, kita hanya bincangkan selama lima minit sahaja isu Dr. Mahathir,” ujarnya.
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata, ahlia-ahli Parlimen UMNO dari Sabah turut menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Abdullah.
‘‘Tidak semestinya dalam sidang Dewan Rakyat kita lantang bersuara bermakna kita mahu lompat parti atau tidak menyokong BN.
‘‘Kita bersuara kerana mahu menyampaikan masalah rakyat. Itu sahaja. Kepimpinan Presiden parti tetap kita sokong. Apa yang kita dapat lihat dalam perjumpaan tadi ialah Perdana Menteri sangat terbuka dan menerima pendapat dan cadangan setiap ahli Parlimen,” ujarnya.
Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, kesemua ahli Parlimen UMNO yang menghadiri mesyuarat itu meminta Perdana Menteri selaku Presiden parti untuk terus memimpin UMNO.
‘‘Perdana Menteri turut berkata dalam mesyuarat itu, sebagai ahli UMNO, Dr. Mahathir tidak seharusnya bertindak demikian.
Bagaimanapun, kami semua menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Abdullah,” katanya.
20080520
Pak Lah tak akan tunduk desakan Dr M
Perdana Menteri berkata, beliau akan terus memimpin negara serta Umno kerana masih banyak kerja yang perlu dilakukannya.
"Kenapa saya nak letak jawatan, saya ada kerja nak dibuat, akan teruskan tugas," katanya pada sidang media selepas merasmikan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Sarawak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Abdullah berkata demikian ketika mengulas tindakan Dr Mahathir keluar daripada Umno dan mengajak ahli parti itu menyertainya sebagai protes terhadap kepemimpinan parti sekarang.
Presiden Umno itu berkata, beliau akan terus bersama Umno dan berharap semua ahli turut berbuat begitu.
"Saya sebagai ahli Umno dari dulu sampai sekarang, tak pernah keluar Umno dan akan teruskan perjuangan Umno," katanya.
Ditanya reaksi pertamanya apabila mengetahui Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada Umno, Abdullah berkata: "Saya terkejut dengar Tun Dr Mahathir letak jawatan, tak mahu jadi ahli Umno lagi dah. Bila saya fikir itu, saya ingat tentu dia sudah fikir habis-habis.
Dr Mahathir kata bila dia nak buat sesuatu perkara, dia tidak kisah, apa orang nak kata pada dia, dia buat."
Ditanya kemungkinan ramai ahli Umno akan keluar parti termasuk Ahli Parlimen Umno, Perdana Menteri: "Saya tak tahu apa ahli Umno akan buat. Saya nak yakin bahawa ahli Umno tidak akan meninggalkan Umno."
Abdullah bagaimanapun mengakui kemungkinan ada yang menyertai Dr Mahathir, tetapi berkata, ahli Umno akan faham.
"Orang yang sayangkan Umno, akan terus bersama, kalau nak tinggalkan dan hancurkan Umno... itu pilihan mereka," katanya.
Perdana Menteri berkata, jika ahli parti mahu terus melihat Umno bertambah kuat, maka tidak ada alasan bagi mereka untuk meninggalkan Umno.
"Saya percaya ahli Umno sayang kepada parti dan terus berjuang dan sama-sama dalam parti untuk teruskan perjuangan kita bersama. Jadi mereka tidak akan keluar dari Umno, saya percaya begitu.
"Adakah kita mahu tinggalkan Umno. Kalau kita benar-benar ahli Umno, maka kita mesti bersama Umno, kalau tak mahu bersama Umno, tak ada lagi perjuangan Umno," katanya.
Tanpa menolak kemungkinan kedudukan beliau juga akan terjejas dengan tindakan Dr Mahathir itu, Abdullah berkata, apa yang lebih penting majoriti ahli Umno mahu supaya beliau terus berada dalam Umno dan berjuang bersama-sama.
"Saya harap ahli Umno akan taat setia. Apa jadi jika kita tidak tak ada parti. Umno hari ini yang banyak berjasa kepada bangsa, negara dan rakyat semua kaum di Malaysia.
"Kita mahu parti kita terus meneruskan perjuangan dan saya percaya semua ini bergantung kepada kita. Majoriti ahli Umno, hari ini sayang kepada Umno dan beri kekuatan kepada kita untuk teruskan perjuangan," katanya.
Perdana Menteri berkata, tindakan Dr Mahathir keluar daripada Umno tentu akan dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti akan datang, tetapi beliau yakin ia tidak akan melemahkan parti.
Mahathir keluar Umno
KEJUTAN: Dr Mahathir menjelaskan keputusannya meletak jawatan sebagai ahli Umno sambil diperhati Khalid selepas menyampaikan ceramah Nasib Kedudukan Bangsa Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah di Alor Star, semalam."Saya dengan ini mengumumkan keluar parti hari ini sehingga Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, Ismail Jaziz yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan memperjuangkan hak orang Melayu, mencabar Dr Mahathir mengetuai usaha berkenaan supaya boleh dicontohi ramai lagi ahli Umno. Berikutan itu, Dr Mahathir mengumumkan keluar parti dan disambut tepukan gemuruh hadirin.
Menjawab soalan sama ada beliau akan menyertai parti lain, bekas Perdana Menteri itu berkata, ahli Umno yang keluar parti jangan menyertai mana-mana parti.
20080516
Internet lebih pantas - * Komunikasi cepat berkali ganda * Impak besar kepada rakyat
Kemudahan baru itu bakal melonjakkan Malaysia ke tahap dunia siber seperti di Hong Kong, Korea dan Singapura yang memberi impak besar kepada sosioekonomi rakyat.
Ia umpama pembukaan sebuah lebuh raya yang akan memudahkan pelbagai aplikasi dimanfaatkan sepenuhnya seperti e-kerajaan, e-kesihatan, e-pendidikan, telekerja (bekerja dari rumah), e-pembayaran dan TV dengan Protokol Internet (IPTV).
Melalui kemudahan itu, orang ramai akan lebih mudah berurusan dengan kerajaan secara dalam talian.
Penekanan juga akan diberikan kepada aspek pembangunan kandungan dan pelbagai aplikasi dalam talian seperti perkhidmatan perbankan dan pembelian tiket.